'Kita letak sasaran pingat bukan untuk seronok-seronok' - Ahmad Faizal
KEJOHANAN Sukan SEA Hanoi di Vietnam perlu menjadi medan buat atlet yang bertanding meningkatkan prestasi untuk ke peringkat lebih tinggi.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, walaupun sasaran awal sebanyak 31 pingat emas itu munasabah untuk dicapai, namun atlet mampu berusaha menambah pingat tersebut.
Menurutnya, sasaran yang diletakkan itu dibuat selepas mempertimbangkan prestasi atlet-atlet negara lain yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.
"Kita letak sasaran itu sebab kita nak capai, bukan kita letak untuk seronok-seronok atau kita nak ambil ringan supaya mudah nak capai. Saya kira sasaran ini dibuat dengan realistik walaupun saya sendiri seperti orang ramai berharap kita dapat lebih daripada 31.
"Saya gesa supaya atlet berusaha sungguh-sungguh agar mereka dapat sekurang-kurangnya memperbaiki keputusan peribadi masing-masing. Itu akan lebih baik bagi saya kerana momentum itu yang kita bawa pada kejohanan lebih besar di Sukan Asia dan juga Sukan Komanwel," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada program Singgah Sahur Bersama Media dan Belia Negeri Perak di Masjid Hajjah Puteh Mahani, Bercham Raya, di sini pada Ahad.
Ahmad Faizal pada 21 April lalu menjelaskan semua pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) sedang melakukan kajian untuk meletakkan sasaran bersesuaian.
Dalam laporan media sebelum ini, Malaysia meletakkan sasaran awal untuk memperoleh 31 pingat emas, 19 pingat perak dan 29 pingat gangsa pada Sukan SEA yang akan berlangsung di Hanoi, Vietnam.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, sasaran awal ditetapkan bersama Persatuan Sukan Kebangsaan itu berdasarkan perkembangan dan perbandingan prestasi semasa atlet negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!