Prestasi usahawan AIM di Perak makin baik

Sahabat AIM yang terlibat dalam Program Bakul Kasih Ramadan dan Bubur Lambuk Perdana 2022 di Masjid Jamek Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 3 pada Sabtu.
Sahabat AIM yang terlibat dalam Program Bakul Kasih Ramadan dan Bubur Lambuk Perdana 2022 di Masjid Jamek Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 3 pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Prestasi usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Perak dari segi kutipan semakin baik setelah negara berada di dalam fasa peralihan ke endemik.

Pengurus Kanan AIM Wilayah Perak, Shahfizan Hamdan berkata, pada tahun ini sebanyak RM170 juta kutipan balik bayaran pinjaman disasarkan bagi negeri Perak dan sehingga Mac sudah mencapai 30 peratus bayaran tersebut.

Menurutnya, sehingga kini terdapat kira-kira 26,000 usahawan AIM di Perak dengan daerah Kerian paling ramai iaitu berjumlah 3,300 orang.

"Alhamdulillah, pada tahun ini semua pinjaman berbalik. Tak ada Sahabat AIM yang culas bayar. Tahun lepas kita ada tiga cawangan berlaku tunggakan iaitu Tapah, Tanjung Malim dan Gerik. Tapi tahun ini semua bayar.

"Kutipan yang baik ini didorong oleh perniagaan usahawan semakin baik kerana sebelum ini ramai terpaksa berdepan kekangan pandemik," katanya kepada Sinar Harian pada Program Bakul Kasih Ramadan dan Bubur Lambuk Perdana 2022 di Masjid Jamek Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 3 di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Puteri Holijah Muhammad Rali; Pengurus AIM Cawangan Ipoh, Rohana Yusof dan Pengerusi Kelab Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Ipoh Perak, Irma Suryani Nasrul.

Shahfizan berkata, pihaknya melalui pengurus-pengurus cawangan AIM mempunyai kaedah tertentu dengan menyantuni Sahabat AIM untuk membantu mereka menyelesaikan pinjaman.

Sementara itu, mengenai Program Bakul Kasih Ramadan dan Bubur Lambuk Perdana 2022, Irma Suryani berkata, penganjurannya merupakan inisiatif kelab bagi membantu Sahabat-sahabat AIM yang kurang bernasib baik.

Menurutnya, pada program kali ini sebanyak 246 Sahabat AIM yang menerima bakul kasih berupa keperluan asas makanan seperti beras, minyak, tepung, gula dan sebagainya.

"Bagi menjalankan Program Bakul Kasih ini, pihak kelab telah melancarkan tabung kutipan sumbangan dalam kalangan sahabat-sahabat dan warga AIM Cawangan Ipoh. Alhamdulillah kita berjaya kumpul RM8,945.

"Selain itu, kita turut menerima sumbangan daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias dan 30 kotak bantuan makanan daripada Puteri Holijah," katanya.

Dalam pada itu, Irma Suryani berkata, bagi program Bubur Lambuk Perdana pula, sebanyak enam blok AIM di Ipoh menyertai program tersebut dengan resipi serta kreativiti masing-masing.

Menurutnya, sebanyak 2,000 pek bubur labur berjaya dihasilkan untuk edaran kepada Sahabat AIM serta penduduk setempat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!