KPDNHEP Melaka rekod 30 kes kesalahan kepenggunaan

Hee Sem (kanan) meninjau pelaksanaan Jualan Keluarga Malaysia di Mydin Ayer Keroh pada lewat malam Sabtu. - Foto Bernama
Hee Sem (kanan) meninjau pelaksanaan Jualan Keluarga Malaysia di Mydin Ayer Keroh pada lewat malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka merekodkan 30 kes berkaitan kesalahan kepenggunaan sepanjang penguatkuasaan dijalankan dalam tempoh Ramadan bermula 3 hingga 22 April lepas.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, daripada jumlah itu, kesalahan tertinggi direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan 16 kes dan kebanyakan kesalahan di bawah akta itu ialah tidak mempamerkan tanda harga.

Beliau berkata, selain itu tujuh kes dilaporkan melibatkan kesalahan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, diikuti Akta Timbang dan Sukat 1972 (tiga kes), Akta Hak Cipta 1987 (dua kes) dan masing-masing satu kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

"Di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, sebanyak RM3,500 kompaun dikeluarkan, manakala kompaun berjumlah RM600 juga dikeluarkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Selain itu, pelbagai barangan disita melibatkan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM18,753.20 di bawah Akta Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Jualan Keluarga Malaysia di Mydin Ayer Keroh di sini malam Sabtu.

Beliau turut meluangkan masa melawat Bazar Aidilfitri Mydin di sini bagi melihat persiapan orang ramai menyambut Aidilfitri serta memantau harga jualan barangan di bazar tersebut.

Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 2,507 premis perniagaan termasuk pasar dan bazar Ramadan di sekitar negeri itu telah diperiksa dan sebanyak 38 aduan diterima terutama melibatkan perihal harga dalam tempoh berkenaan.

Hee Sem berkata, dalam tempoh berkenaan juga tiada kesalahan dikesan melibatkan peniaga di bazar atau pasar Ramadan di negeri itu, namun pemantauan berkala terus dilaksanakan.

Sementara itu, beliau berkata, Jualan Keluarga Malaysia di pasar raya itu akan diadakan selama dua hari bermula Sabtu dan pelbagai barangan dijual pada harga yang lebih murah daripada hari biasa.

"Jualan Keluarga Malaysia di sini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna lebih-lebih lagi mereka sedang membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dan saya menyeru orang ramai tidak melepaskan peluang ini," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!