PLUS saran masuk lebuh raya sebelum 10 pagi
PETALING JAYA - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang jauh untuk perjalanan pada 29 April hingga 2 Mei ini supaya mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang ke Bandar pada musim perayaan Aidilfitri dengan mula memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, ia untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat kerana lebih 2 juta kenderaan dijangka melakukan perjalanan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.
Menurutnya, jangkaan itu melibatkan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya berkenaan.
Katanya, ia memandangkan Syawal ini adalah kali pertama selepas dua tahun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri.
"Bagi pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor, dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi.
"Sementara itu, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas jam 1 petang," katanya menerusi kenyataan pada pagi Ahad.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, TTA itu direka untuk mengelak trafik yang menuju ke destinasi yang lebih jauh daripada ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat.
"Dengan mematuhi TTA ini, ia boleh memberikan perbezaan yang lebih baik kepada pengalaman dan tempoh perjalanan anda, Insya-ALLAH,” katanya.
Zakaria berkata, TTA Balik Kampung dan Pulang ke Bandar itu disediakan bagi perjalanan di lebuh raya dari 29 April hingga 9 Mei 2022.
Menurutnya, bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang pada 5 Mei hingga 9 Mei pula yang membabitkan pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri, mereka dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.
“Berdasarkan kajian kami bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pengguna lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA ini.
“Berdasarkan simulasi pola perjalanan trafik pada musim perayaan, bagi pelanggan lebuh raya dari Utara ke Lembah Klang, mereka dijangka akan mengalami tempoh perjalanan sehingga 10 jam atau dua kali lebih panjang daripada purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya selepas jam 9 pagi.
"Tempoh perjalanan dari Selatan ke Lembah Klang pula bakal mencecah sehingga tujuh jam atau dua kali lebih panjang berbanding purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya pada masa yang sama iaitu selepas jam 9 pagi,” katanya.
Zakaria memberitahu, secara keseluruhannya TTA itu direka berdasarkan pola perjalanan trafik daripada musim perayaan dan cuti panjang yang lalu sebagai panduan dan membantu pengguna lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan sebaik mungkin semasa tempoh musim perayaan akan datang.
Jelasnya, sekiranya kesesakan berlaku ia akan memanjangkan tempoh perjalanan pengguna.
"Jadi, kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan balik kampung dan pulang ke bandar," katanya.
Di samping jadual TTA, tambah beliau, pengguna lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik.
Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!