Sukan SEA: Sasaran tiga terbaik dibincang lebih terperinci

Mohamad Norza - Foto Bernama
Mohamad Norza - Foto Bernama
A
A
A

SASARAN bagi kontinjen Malaysia berada dalam kelompok tiga terbaik pada Sukan SEA Hanoi bulan depan akan dibincangkan dengan lebih mendalam sebelum pengumuman rasmi dibuat dalam masa terdekat.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya akan berbincang bersama Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad dan Majlis Sukan Negara bagi memutuskan sama ada sasaran itu realistik atau sebaliknya.

Mohamad Norza secara peribadi berpendapat, beliau tidak mahu meletakkan tekanan kepada atlet untuk mencapai sasaran tersebut memandangkan kebanyakan mereka dilihat bergelut dengan prestasi semasa susulan pandemik Covid-19.

"Dua tahun kebanyakan mereka tiada pertandingan malah kami di peringkat jawatankuasa pemilihan (Sukan SEA) Hanoi berdepan kesukaran mengenal pasti catatan peribadi terbaik mereka dalam dua tahun lepas.

"Disebabkan itu, kami panjangkan ke tahun 2018 untuk kenal pasti catatan peribadi terbaik bagi mengukur kemampuan selain memberi peluang kepada atlet menjadikan Sukan SEA Hanoi sebagai permulaan untuk memperbaiki prestasi sebelum bertanding pada Sukan Komanwel atau Sukan Asia nanti,” katanya.

Mohamad Norza berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran pakaian rasmi kontinjen Malaysia 2022 di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Nur Azmi meletakkan sasaran bagi Malaysia untuk berada dalam kelompok tiga teratas dari segi jumlah pungutan pingat pada temasya dwitahunan di Vietnam kelak.

Mohamad Norza pada masa sama menjangkakan sasaran kedudukan Malaysia serta jumlah pungutan pingat akan diumumkan pada majlis penyerahan Jalur Gemilang dan berbuka puasa bersama kontinjen negara minggu ini.

Ditanya mengenai sukan mana yang bakal menjadi lubuk emas buat negara di Vietnam, beliau berkata, sukan terjun sememangnya diramal untuk meneruskan kecemerlangan mereka di Sukan SEA memandangkan tahap atlet negara yang jauh lebih baik tinggi berbanding pencabar mereka dari negara lain.

Penerjun negara dijangka menyapu bersih semua lapan pingat emas ditawarkan dalam Sukan SEA Hanoi.

Acara terjun dijadual bermula lebih awal iaitu 8 hingga 11 Mei sebelum edisi ke-31 temasya sukan itu bermula secara rasmi pada 12 hingga 23 Mei. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!