United hampir pasti tidak beraksi di UCL musim depan
HARAPAN Manchester United untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim depan dilihat agak mustahil selepas tewas kepada Arsenal 3-1 di Stadium Emirates semalam.
Perkara tersebut diakui pengurus sementara United, Ralf Rangnick sambil memberitahu pasukannya masih berpeluang menamatkan musim ini di kedudukan empat terbaik sekiranya tidak tewas pada perlawanan tersebut.
“Bagi saya mungkin sebelum perlawanan mereka ada peluang untuk menamatkan musim ini di kelompok empat yang terbaik.
“Bagaimanapun selepas tewas pada perlawanan ini, saya lihat pasukan langsung tidak ada peluang untuk menamatkan musim di tempat tersebut,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, anak buah Rangnick ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan awal Nuno Tavares dan penalti Bukayo Saka.
Bagaimanapun, United cuba bangkit apabila berjaya merapatkan kedudukan melalui jaringan Cristiano Ronaldo yang juga merupakan gol ke-100 dalam kancah Liga Perdana Inggeris.
Pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka kemudiannya meranapkan impian United untuk mendapatkan mata di laman lawan apabila menjaringkan gol menerusi satu rembatan deras dari luar kotak penalti.
Kekalahan itu menyaksikan United kini berada di kedudukan keenam dengan mengumpul 54 mata dalam 34 perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!