Inzaghi akui kemenangan ke atas Roma penting
Di sebalik kemenangan tersebut, pengendali Inter, Simone Inzaghi memuji karakter para pemainnya yang tenang mengharungi kepadatan jadual liga sebelum itu.
“Sejujurnya saya sangat bimbang dengan perlawanan ini kerana ia berlangsung tiga hari selepas derbi menentang AC Milan dalam Piala Itali.
“Kami perlu mempamerkan permainan terbaik menentang Roma, dan pemain berjaya melakukannya dengan sempurna.
"Ini adalah kemenangan penting buat kelab pada musim ini tambahan pula melibatkan Inter dan Roma. Pemain berjaya menguruskan kekuatan mental dan fizikal masing-masing dengan baik," kata Inzaghi.
Pada perlawanan itu, Denzel Dumfries terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-30 sebelum percubaan solo Marcelo Brozovic (40') menggandakan kelebihan tuan rumah ke atas Roma yang mengharungi 12 perlawanan tanpa kalah sebelum ini.
Bintang Argentina, Lautaro Martinez kemudiannya melebarkan jaringan apabila menyudahkan tandukan hasil sepakan sudut minit ke-52 sebelum Henrikh Mkhitaryan menghadiahkan gol saguhati pelawat pada minit ke-85.
Kemenangan liga keempat berturut-turut itu menyaksikan Inter mengumpul 72 mata selepas mengharungi 33 perlawanan, satu mata di hadapan Milan manakala Roma kekal di tempat kelima dengan 58 mata.
Sementara itu, pengendali Roma, Jose Mourinho menyifatkan para pemainnya beraksi di bawah tahap terbaik masing-masing dalam perlawanan tersebut.
"Inter adalah Inter, mereka adalah pasukan terbaik dalam Serie A dengan pemain yang hebat dalam setiap aspek, namun dengan segala hormatnya sememangnya skuad mereka (Inter Milan) beraksi dengan cara yang baik.
"Roma perlu sempurna hari ini, namun sebaliknya yang berlaku. Kami melakukannya dengan baik, tetapi kami tidak sempurna itu sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!