Pekida sumbang 300 pek barangan keperluan
KUALA SELANGOR - Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Daerah Kuala Selangor mengagihkan sebanyak 300 pek barangan keperluan kepada golongan asnaf, anak yatim dan institusi tahfiz sepanjang Ramadan ini.
Pengerusi Program Kembara Asnaf Ramadan Pekida Daerah Kuala Selangor, Muhammad Fairuz Kasim berkata, bantuan itu disalurkan secara berperingkat dan mula diagihkan sejak 1 Ramadan lalu.
Menurutnya, bantuan disumbangkan pelbagai pihak itu diagihkan kepada tiga golongan terbabit dalam usaha bersama-sama merasai keindahan Ramadan.
"Antara barangan disumbangkan seperti beras, gula, tepung dan barangan kering lain sebagai tanda ingatan kami untuk bersama-sama melakukan amal kebaikan di bulan Ramadan yang mulia ini," katanya kepada Sinar Harian di pusat pengumpulan barangan keperluan di Ijok pada Ahad.
Muhammad Fairuz berkata, pengagihan barangan disampaikan melalui dua cara iaitu secara terus kepada penerima dan diserahkan kepada wakil Pekida di setiap mukim untuk proses pengagihan.
Jelas beliau, pengagihan secara terus dilakukan di pusat tahfiz dan rumah kebajikan anak yatim manakala sumbangan kepada golongan asnaf disampaikan kepada wakil Pekida.
"Tiga pusat tahfiz yang kami ziarah pada hari ini ialah di Maahad Tarbiah Islamiah Al-Ansar, Kampung Asahan, At-Tahfiz Al-Muhammadiah, Kampung Kuantan dan Maahad Tahfiz Turath Addimyati, Api-Api.
"Alhamdulillah selain menyampaikan barangan sumbangan ini, kita turut mengagihkan 300 pek bubur lambuk pada penganjuran pertama sebelum ini," ujarnya.
Menurut beliau, pengagihan kepada golongan memerlukan itu pada Ramadan kali ini memasuki tahun kelima dan menyifatkan proses sumbangan Ramadan tahun ini lebih mudah dan lancar berbanding dua tahun sebelumnya.
"Kita berdepan kesukaran mengagihkan sumbangan semasa di awal pandemik Covid-19 yang melanda negara pada tahun 2020 dan tahun lalu.
"Namun, kita tetap berusaha untuk menyerahkan sumbangan dengan mendapatkan surat kebenaran daripada polis dan sebagainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!