BAM mahu jadikan terbuka Malaysia kejohanan berprestij

Mohamad Norza. - Foto Bernama
Mohamad Norza. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) akan memastikan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 dari 28 Jun hingga 3 Julai berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang, kata Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau berkata, pihaknya sedang berunding dengan penaja utama, Petronas untuk melangsungkan kejohanan 'Jelajah Dunia Super 750' itu dengan penampilan yang hebat.

Selepas pembatalan kejohanan itu selama dua tahun berturut-turut disebabkan pandemik Covid-19, Mohamad Norza berkata, edisi kali ini akan kembali dianjurkan di Axiata Arena di Bukit Jalil.

"Memandangkan status pun dah ditingkatkan, kita harap ia merupakan satu kejohanan yang berprestij dalam kalendar BWF (Persekutuan Badminton Dunia),” katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM dan mesyuarat agung tahunan badan induk itu di sini pada Sabtu.

Beliau pada masa sama turut mengesahkan Kejohanan Masters Malaysia 5 hingga 10 Julai juga bakal dilangsungkan di Axiata Arena.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata, beliau menyerahkan segala urusan pemilihan jurulatih baharu kepada bahagian teknikal BAM, sambil mengakui terdapat kekosongan jawatan dalam barisan kejurulatihan.

Bulan lepas, jurulatih beregu lelaki, Flandy Limpele dari Indonesia memutuskan untuk tidak menandatangani lanjutan kontrak bersama BAM selepas kontraknya tamat 1 April lepas.

Sebelum itu, BAM turut kehilangan jurulatih perseorangan wanita, Indra Wijaya dari Indonesia dan jurulatih beregu wanita yang juga bekas pemain beregu lelaki negara, Chan Chong Ming selepas masing-masing meletak jawatan pada Februari lepas dan Disember tahun lalu.

Seorang lagi jurulatih kelahiran Indonesia, Paulus Firman yang memegang jawatan sebagai jurulatih beregu campuran dijangka turut ‘angkat kaki’ apabila kontraknya berakhir hujung bulan ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!