Yayasan Al-Quds Malaysia lancar kempen solidariti Palestin

Dr Hafidzi Mohd Noor
Dr Hafidzi Mohd Noor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Al-Quds Malaysia dengan kerjasama 43 badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan kempen solidariti bersama rakyat Palestin 'Hands off Masjid AL-Aqsa' dan mengecam serangan rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa terutamanya ketika 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu sidang akhbar pada Sabtu, kesemua NGO itu sebulat suara menyatakan sokongan mereka dan teguh berdiri bersama rakyat Palestin yang mempertahankan Masjid Al-Aqsa atau mana-mana rumah ibadah di tanah suci.

"Kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin dalam mempertahankan masjid ketiga paling suci daripada pencerobohan Zionis, sama seperti mana-mana rumah ibadat bagi setiap agama.

"Kami juga menyeru maklum balas segera daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam dalam hal ini dan menggesa sidang tergempar diadakan untuk menangani situasi bahaya di Masjid Al-Aqsa,” kata Pengerusi MyCARE, Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor.

Sementara itu, Wan Subki Wan Salih, Yang Dipertua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa, cawangan Malaysia menyuarakan bantahan dan kecamannya terhadap jenayah rejim penjajah itu dan menyifatkan ia bercanggah dengan lunas agama dan undang-undang antarabangsa.

"Kami menyeru kepada negara Islam dengan semua komponennya, pemerintah, ulama, pemikir, profesional media dan lain-lain untuk bekerja keras demi menyelamatkan kiblat pertama, Masjid Al-Aqsa, dan menyokong dengan apa juga cara, sama ada kewangan atau melalui media,” tambahnya.

Ketua Eksekutif dan jurucakap Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abu Shammalah pula berkata, rejim Israel sentiasa berusaha untuk membentuk realiti baharu terhadap Masjid Al-Aqsa dengan pelbagai cara, antaranya meroboh dan membina struktur mereka sendiri.

"Tetapi jika semua negara bersatu dan berganding bahu untuk menghalang perbuatan biadab mereka, sudah pasti ia membuahkan hasil positif insya-ALLAH,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasihnya kepada rakyat dan Kerajaan Malaysia yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Setakat ini, seramai 200 rakyat Palestin cedera ketika pertempuran tercetus dengan tentera Israel di pekarangan Masjid Al-Aqsa sejak beberapa minggu lalu termasuk pada Jumaat lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!