Hanya 10 peratus pemohon gagal penuhi syarat dana khas i-Fitri

Hanafiah
Hanafiah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hampir 10 peratus pemohon tidak memenuhi syarat untuk menerima dana khas Aidilfitri (i-Fitri) manakala 90 peratus yang lain layak menerima bantuan tersebut.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kegagalan pemohon mendapatkan dana tersebut disebabkan beberapa faktor.

"Daripada 160,000 pemohon yang isi borang, cuma 10 peratus permohonan yang tidak berjaya memenuhi kriteria ditetapkan.

"Hasil semakan mendapati mereka yang tidak berjaya disebabkan pemohon bukan pengundi di Terengganu, kedua penjawat awam kerana kerajaan telah luluskan bonus RM500 bagi kumpulan berkenaan manakala yang ketiga ialah nama berulang-ulang," katanya memetik laporan portal rasmi kerajaan negeri pada Sabtu.

Dalam pada itu Hanafiah memberi jaminan bahawa individu yang layak dan memenuhi syarat untuk mendapatkan i-Fitri tidak akan tercicir.

"Agihan i-Fitri dibuat tidak mengira latar belakang parti politik, kita beri kepada pemohon yang layak iaitu mereka yang mengisi borang serta cukup syarat layak untuk menerima bantuan ini," jelasnya.

Sementara itu, Hanafiah berkata, pembayaran bantuan Dana Remaja akan dilakukan pada Julai ini manakala permohonan bantuan i-Perantau pula akan dibuka pada minggu depan dan pembayaran dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri.

Mac lalu, kerajaan mengumumkan bayaran dana raya Bantuan i-Fitri 2022 kepada rakyat Terengganu yang layak akan dibuat bermula 17 April secara tunai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Jelasnya, bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM56.4 juta itu akan dibayar kepada 148,700 ketua isi rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!