Selangor peruntuk RM1.1 juta untuk program Jualan Prihatin Rakyat Mega
SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan perbelanjaan RM1.1 juta bagi penganjuran program Jualan Prihatin Rakyat Mega yang akan bermula pada Isnin secara berperingkat di negeri itu sempena sambutan Aidilfitri Mei ini.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata, program yang akan melibatkan tiga program jualan daripada empat agensi kerajaan itu akan dilaksanakan di 29 lokasi sehingga 2 Mei depan.
Izham berkata, pelaksanaan program jualan itu akan diterajui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
"Program jualan mega ini akan melibatkan gabungan tiga program jualan iaitu di tujuh lokasi Jualan Prihatin Rakyat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang akan dijalankan 28 hingga 30 April depan; 21 lokasi Selangor Agro Market (SAM) dan Pasar Tani FAMA (30 April hingga 2 Mei) dan satu lokasi Pasar Kohijrah di tapak pasar malam Berjaya Park, Seksyen 32, dekat sini bermula esok, 27 dan 29 April.
"Bagi penganjuran jualan mega ini, kami akan sediakan sebanyak 23,200 ekor ayam; 23,200 kilogram (kg) daging pejal segar; 16,700kg tulang lembu; 18,200 papan telur ayam gred b; 25,200 tan minyak masak paket dan 1,500kg ikan q-fish (sejuk beku) dan kami beri jaminan bekalan barangan utama ini sepanjang program ini dilaksanakan mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Pasar Tani Stadium Seksyen 13 pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.
Izham berkata, kira-kira 50,000 rakyat negeri itu akan menerima manfaat dengan purata setiap daripada mereka akan mendapat subsidi pengurangan harga sehingga RM11 khususnya bagi enam barangan utama tersebut.
Jelasnya, program Jualan Prihatin Rakyat Mega itu adalah lanjutan daripada Program Intervensi Harga Makanan Ehsan bawah PKPS yang dilancar Februari lalu dan telah memberi manfaat kira-kira 50,000 rakyat Selangor.
Jualan Prihatin Rakyat PKPS dilaksanakan di Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat (28 April); tapak bersebelahan Petronas Bandar Utama, Batang Kali, Hulu Selangor (29 April) dan 30 April lima lokasi iaitu Di Dewan H Kampung Pandan dan Jalan Pandan 8, Pandan Jaya, Ampang; Padang Awam Batu Caves, Gombak; Stadium Shah Alam dan Stadium Sabak Bernam bermula jam 10 pagi hingga 1 petang.
Bagi SAM Pra Syawal dan Pasar Tani akan dilaksanakan di pekarangan tempat letak kereta Mahkamah Ampang (29 April); 30 April di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang; Seksyen 6, Kelana Jaya; Kota Kemuning, Shah Alam; Taman Melawati, Hulu Klang; Sungai Kapar Indah, Klang; tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia, Taman Ekspo Pertanian Malaysia; Desa Jenaris, Kajang; Masjid Jamek As-Solihin Kanchong Darat, Banting.
Pada 30 April dan 1 Mei pula di SAM dan Pasar Tani Kekal Puchong serta Pusat Operasi FAMA Dengkil, Sepang; Taman Sri Andalas, Klang; Saujana Utama, Sungai Buloh; Seksyen 17, Shah Alam; (30 April dan 2 Mei) di Taman Cempaka, Pandan Indah; Dataran Puchong Permai, Puchong; Kampung Melayu Subang, Shah Alam; Kota Damansara, Petaling Jaya; Putra Heights, Subang Jaya; LNK 1 Bandar Baru Bangi dan Stadium Shah Alam (1 Mei) yang bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!