Budak 9 tahun maut digilis ketika tahan kereta mengundur
BALING - Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut digilis kereta ketika cuba menghentikan kenderaan terbabit yang berundur dalam kejadian di rumahnya di Kampung Keledang Luar Tawar di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, mangsa, Aisyah Amani Binti Amirrudin bermain di dalam kereta jenis Proton Wira milik keluarganya dan menurunkan brek tangan sehingga menyebabkan kenderaan itu mengundur sebelum dia keluar untuk menahannya daripada bergerak.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, ketika kejadian bapa dan nenek mangsa tiada di rumah.
Menurutnya, mangsa bersama adik-beradik yang lain berusia antara tujuh hingga 15 tahun dijaga oleh bapa saudara mereka yang bekerja sebagai pemandu ambulans sebuah syarikat swasta.
"Sebelum kejadian lelaki berkenaan ada ternampak mangsa bersama adik lelakinya berusia tujuh tahun bermain di luar rumah sementara dia sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurutnya, tidak lama kemudian lelaki berusia 29 tahun itu terdengar jeritan anak- anak saudaranya menyatakan mangsa berada di bawah kereta.
"Dia bergegas keluar dan mendapati anak saudaranya itu tersepit di bawah kenderaan lalu menolak kenderaan ke hadapan sementara adik beradik mangsa cuba menariknya keluar," katanya.
Shamsudin menambah, saksi kejadian memaklumkan mangsa masuk ke dalam kereta dan bermain di bahagian pemandu sebelum menurunkan brek tangan sehingga menyebabkan kereta mengundur ke belakang.
"Mangsa yang panik kemudian bertindak menahan kereta daripada bergerak sebelum digilis di belakang kereta," katanya.
Manurut beliau, siasatan lanjut mendapati kereta berkenaan diletakkan di bawah beranda dengan permukaan beranda bercerun sehingga ke laman rumah.
"Mangsa yang dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim oleh bapa saudaranya itu dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat mengalami pendarahan di bahagian kepala serta patah tulang tengkorak.
"Mayat mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah pada Ahad untuk tujuan bedah siasat," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!