Rezeki buluh lemang menjelang Aidilfitri

Mohd Rafiuddin (kanan) dan Mohd Azim memotong buluh yang telah siap ditempah oleh peniaga lemang di tebing Tasik Pedu, Padang Terap baru-baru ini.
Mohd Rafiuddin (kanan) dan Mohd Azim memotong buluh yang telah siap ditempah oleh peniaga lemang di tebing Tasik Pedu, Padang Terap baru-baru ini.
A
A
A

PEDU - [DIKEMAS KINI] Dua rakan tidak menang tangan apabila menerima tempahan kira-kira 4,000 batang buluh untuk membuat lemang, sekali gus memanfaatkan peluang tersebut dengan mencarinya di sekitar tebing Tasik Pedu, dekat sini.

Mohd Rafiuddin Mohd Shukri, 23, dan rakannya, Mohd Azim Faiz, 27, menerima tempahan daripada peniaga lemang di sekitar Padang Terap, Pokok Sena dan Pendang dua minggu sebelum tibanya Aidilfitri.

Menurut Mohd Rafiuddin, mereka melakukan kerja sampingan tersebut sejak tiga tahun lalu dan menerima reaksi positif pelanggan yang mengakui berpuas hati dengan kualiti buluh yang dijual.

"Sebanyak 4,000 batang buluh disediakan iaitu 2,000 batang buluh pada penghujung Ramadan manakala selebihnya pada minggu pertama Syawal.

"Alhamdulillah sambutan sungguh menggalakkan kerana ramai peniaga yang memerlukan buluh lemang ini.

"Buluh lemang jenis telur antara yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembeli," katanya ketika ditemui pemberita di Tasik Pedu baru-baru ini.

Tambah Mohd Rafiuddin, keuntungan yang diperolehi daripada kerja sampingan tersebut sedikit sebanyak dapat menampung pendapatan mereka yang bekerja di Rumah Bot Sri Mahawangsa di tasik tersebut pada bulan Ramadan.

"Pelancong agak berkurangan pada bulan puasa berbanding bulan lain dan kami perlu mencari pekerjaan sampingan bagi menampung perbelanjaan.

"Satu batang buluh dijual pada harga RM1.30 dan syukur semua buluh yang dicari ini sudah pun ditempah oleh peniaga lemang," ujarnya.

Bagi Mohd Azim pula, mereka akan keluar seawal jam 8.30 pagi dengan menggunakan bot dan perlu sentiasa berhati-hati kerana berdepan risiko berdepan binatang berbisa seperti ular dan kala jengking.

Menurutnya, buluh yang ditebang akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum dipotong mengikut saiz yang dimahukan oleh pelanggan mereka.

"Sebelum ini kami menjual sebatang buluh yang siap dipotong pada harga RM1.20 tetapi pada tahun ini dinaikan kepada RM1.30 sesuai dengan kos barangan yang semakin meningkat.

"Walaupun harga dinaikkan, namun tidak ada keluhan daripada peniaga lemang malah permintaan terhadap buluh ini masih lagi tinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!