Nelayan Vietnam ditahan tangkap ikan guna pukat tunda gading

Sebahagian daripada nelayan warga asing Vietnam yang berjaya ditahan oleh Maritim Malaysia Kelantan.
Sebahagian daripada nelayan warga asing Vietnam yang berjaya ditahan oleh Maritim Malaysia Kelantan.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan dua buah bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara menggunakan pukat tunda gading dalam serbuan berasingan pada Jumaat.

Kedua-dua buah bot itu ditahan pada jarak 46.6 dan 45.3 batu nautika daripada muara Tok Bali di sini.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, semasa melakukan rondaan pihaknya telah mengesan dua bot nelayan yang sedang menangkap ikan pada jam 12.30 tengah malam dan 1.10 pagi.

"Melihat situasi itu anggota bertugas telah bertindak mengejar bot tersebut untuk menahan dan membuat pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, semasa cubaan menahan bot pertama, anggota Maritim Malaysia Kelantan mendapati ada kru berada dalam keadaan mabuk.

Katanya, bagaimanapun tiada kru yang bertindak agresif sebagaimana sebelum ini.

Syed Nor Adli berkata, pihaknya mengambil masa hampir 30 minit untuk menahan bot pertama dan bot kedua 19 minit kemudian selepas berjaya dikesan.

"Pemeriksaan ke atas bot pertama telah menjumpai 10 orang kru termasuk tekong. Bot kedua pula kita berjaya tahan dua kru termasuk tekong di bot kedua.

"Kesemua suspek yang ditahan itu berusia 30 hingga 62 tahun. Selain itu, semua kru termasuk tekong juga tiada sebarang dokumen pengenalan diri semasa ditahan," katanya.

Menurutnya, peralatan menangkap ikan, hasil ikan sebanyak 500 kilogram dan bahan api diesel berjumlah 1,100 liter turut dirampas dalam serbuan itu.

Katanya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!