Kempen UndiRinggit bantu ekonomi Melayu
IPOH - Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP) melancarkan Kempen UndiRinggit dalam usaha untuk meningkatkan kembali taraf ekonomi Melayu dan bumiputera di negara ini.
Presidennya, Datuk Zahar Hashim berkata, kempen itu bertujuan untuk memperkukuhkan perbelanjaan domestik iaitu melalui kaedah setiap wang yang ada dibelanjakan sesama sendiri.
"Keadaan ekonomi Melayu ditambah dengan politik semasa dilihat tidak memberangsangkan. Kajian mikro ekonomi yang dijalankan terhadap peniaga-peniaga kecil mendapati golongan ini paling terjejas selepas pandemik Covid-19.
"Iktibar daripada itu, kempen ini dijalankan untuk membantu bangsa kita. Sekiranya kita boleh bersatu padu dengan berbelanja sesama sendiri maka, ekonomi Melayu tidak terjejas.
"Atas dasar itulah kita ilhamkan kempen UndiRinggit, setiap ringgit di poket kita belanjakan sesama kita khususnya Melayu dan Islam," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen UndiRinggit dan logo ZAGCare pada Majlis Iftar bersama 125 anak yatim dan asnaf di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Zahar berkata, kempen tersebut disasarkan kepada penjawat-penjawat awam iaitu kira-kira 85 peratus dalam kalangan mereka mempunyai kuasa berbelanja.
Jelasnya, sifat jati diri merupakan kunci utama dalam memartabatkan ekonomi Melayu dan merapatkan jurang antara kaum lain.
"Memang diakui kita tidak boleh mengalahkan harga ditawarkan kerana mereka mengawal bekalan masuk. Oleh itu, kita kena ada sifat jati diri jangan fikir mahal RM1 atau RM2, kita pergi tempat lain.
"Kempen ini tidak menjejaskan mana-mana pihak. Kita sudah jauh ketinggalan dan perpecahan dalam kalangan Melayu menyebabkan ekonomi kita juga akan teruk.
"Impaknya mungkin tidak besar tetapi dengan perjalanan kempen ini akan mewujudkan kesedaran kepada pihak lain untuk terus membantu kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!