300 anak yatim, asnaf di Kuala Nerus terima bantuan Aidilfitri
![Mohd Khairuddin (kanan) melayani seorang kanak-kanak memilih pakaian baharu sempena program 'Shopping' Raya Bersama Anak Yatim dan Asnaf di kawasan parlimen Kuala Nerus yang diadakan pada Sabtu.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/04/24/1674693.jpg)
KUALA NERUS - Aidilfitri yang bakal menjelang membawa kegembiraan buat 300 anak yatim termasuk ibu tunggal dan golongan asnaf di Parlimen Kuala Nerus apabila berpeluang memilih persalinan baharu serta keperluan hari raya.
Kesemua penerima berpeluang memilih sendiri baju raya yang disampaikan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sepanjang program yang diadakan pada Sabtu.
Menurut Mohd Khairuddin kesemua penerima adalah mereka yang menetap di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, DUN Tepoh, DUN Bukit Tunggal dan DUN Buloh Gading.
Katanya, program 'Shopping' Raya Bersama Anak Yatim dan Asnaf adalah acara tahunan di kawasan Parlimen Kuala Nerus.
"Setiap tahun kita akan memilih mereka yang layak menerima bantuan dan sumbangan raya. Kali ini seramai 200 anak yatim serta 100 ibu tunggal dipilih untuk menerima sumbangan.
"Kita harap dengan sedikit sumbangan ini ia dapat menggembirakan hati mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," katanya kepada Sinar Harian, pada Ahad.
Dalam pada itu Mohd Khairuddin berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini amat bermakna selepas dua tahun lalu berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang agar golongan anak yatim, ibu tunggal dan asnaf tidak berasa dipinggirkan setiap kali musim perayaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!