Kean Seng ‘pakar’ senjata tradisional Melayu
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki berketurunan Cina yang berasal dari Kampung Batu Kurau, Perak dan kini menetap di Kampung Pulau Kambing, di sini mahir dalam mengenal pasti latar belakang senjata tradisional Melayu.
Foo Kean Seng, 51, berkata, ilmu itu diperoleh hasil daripada pergaulan bersama orang terdahulu digelar ‘otai’ keris lama yang mempunyai ilmu dalam pembuatan senjata tradisional Melayu.
“Sejak datang ke Terengganu 30 tahun lepas, saya banyak campur dengan orang lama yang lebih berpengalaman, jadi sikit-sikit saya belajar dengan mereka tentang senjata tradisional dan barangan antik.
“Disebabkan minat mendalam, mereka ajar saya macam mana nak kenal pasti barang rare (lama) atau baru. Sejak itu, minat saya datang dengan sendiri,” katanya ketika ditemui di gerai Pameran Persatuan Seni Purba Terengganu di Muzium Negeri Terengganu, semalam.
Bagaimanapun, Kean Seng berkata, kebanyakan gurunya kini telah meninggal dunia dan dia juga bersedia untuk ‘melepaskan’ koleksi barangan antik terutama senjata tradisional Melayu yang menjadi koleksi kesayangannya sejak 30 tahun lalu kepada ‘tuan’ baharu.
“Dah 30 tahun dah menuntut dan berkecimpung mengumpul senjata tradisional ini. Pendek kata, ilmu berkaitan senjata tradisional ini mungkin dah habis saya pelajari dan semuanya ada dalam ingatan.
“Disebabkan saya tak ada waris yang minat kongsi hobi sama, jadi sekarang saya dah mula jual koleksi senjata tradisional dan barang-barang antik. Nak bagi orang baru jaga,” katanya.
Selain senjata, Kean Seng juga mengumpul pelbagai barangan antik seperti tembikar, marmar, keris, lembing, pedang, parang dan badik.
Menurutnya, sebelum ini dia pernah mengumpul sehingga 2,000 koleksi barangan dan senjata tradisional yang diperoleh dari merata tempat.
“Dulu saya ada simpan lebih 2,000 koleksi barangan senjata dan antik, sekarang yang ada dalam simpanan lebih kurang 700 bilah sebab saya mula jual kepada pemilik baru,” katanya.
Kean Seng adalah ahli Persatuan Seni Purba Terengganu dan Persatuan Seni Purba Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!