Malaysia berisiko untuk dapat semula jangkitan malaria manusia
SHAH ALAM - Malaysia berisiko untuk mendapat semula jangkitan malaria manusia, meskipun berjaya mencapai sifar kes jangkitan tempatan (indigenous) untuk empat tahun berturut-turut mulai 2018 lalu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, ini kerana hampir 97 peratus kes malaria di Malaysia pada tahun 2021 adalah disebabkan jangkitan malaria zoonotik.
"Ia sekali gus menjadikan risiko jangkitan malaria zoonotik masih menjadi cabaran utama di negara ketika ini.
“Risiko kemasukan semula jangkitan malaria manusia juga boleh berlaku kerana terdapat kes malaria import daripada negara endemik malaria,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Dalam hantaran berikutnya, KKM menjelaskan malaria adalah penyakit berjangkit bawaan vektor, di mana nyamuk Anopheles merupakan vektor penyakit malaria.
“Jangkitan malaria manusia boleh disahkan melalui pemeriksaan mikroskopi slaid BFMP (Blood film for malaria parasite),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!