'Saya tidak mampu nak cakap lebih cuma terima kasih pemain...'
FAKTOR keletihan merupakan punca yang menyaksikan Perak FC tumpas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) II dalam perlawanan Liga Premier di Stadium Perak.
Bagaimanapun pengendali Perak FC, Yusri Che Lah memuji persembahan ditampilkan para pemain muda Perak FC yang mampu memberikan aksi terbaik sepanjang 90 minit walaupun The Bos Gaurus berdepan dengan pelbagai situasi tidak menentu pada ketika ini.
“Alhamdulillah, walaupun pasukan dalam keadaan yang sebegini para pemain masih lagi memberikan komitmen yang baik dan masih mampu berlari hingga tamat wisel perlawanan.
“Walaupun tahu kita banyak melepaskan gol dalam beberapa perlawanan, Tapi ia sukar untuk perbaiki kelemahan tersebut dengan segera kerana keterbatasan pemain yang sedia ada.
“Saya juga tidak mampu nak cakap lebih, apapun terima kasih kepada para pemain yang berjaya berdiri teguh menghabiskan 90 minit masa permainan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tersebut.
Pada perlawanan itu, JDT II terlebih dulu membuka jaringan pada minit ke-24 menerusi Fernando Rodriguez sebelum pemain kelahiran Sepanyol berusia 34 tahun tersebut menambah koleksi gol kedua selepas menyempurnakan sepakan penalti di minit ke-36.
Perak berjaya mengurangkan defisit apabila Hakimi Mat Isa merapatkan jurang pada minit ke-38, sebelum Adam Farhan Faizal mengesahkan tiga mata milik pasukan pelawat dengan gol pada minit ke-52.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!