Rimau Muda mampu mengaum di Hanoi

Sebahagian pemain Harimau Muda yang menjalani latihan sebagai persiapan ke Sukan SEA Hanoi.
Sebahagian pemain Harimau Muda yang menjalani latihan sebagai persiapan ke Sukan SEA Hanoi.
A
A
A

SKUAD Bawah 23 negara (B-23) mampu untuk mencipta keputusan lebih positif di Sukan SEA Hanoi, Mei ini berbanding ketika di Kejuaraan B-23 AFF sebelum ini.

Keyakinan itu dilaungkan bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew yang menyifatkan 31 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat bermula 19 April lalu dijangka memberi impak besar kepada skuad kendalian Brad Maloney tersebut.

“Apa yang saya lihat dengan senarai 31 pemain dipanggil kali ini terdapat banyak perbezaan berbanding pertandingan AFF B-23 tempoh hari yang mana banyak nama tak dipanggil ketika itu dipanggil semula bagi perkuatkan pasukan.

“Malah apa yang saya lihat, untuk call up kali ini, coach Brad dapat panggil hampir semua pemain utama yang dia mahukan. Cuma mungkin ada beberapa nama itu tidak dipanggil atas sebab yang kita sendiri tidak tahu.

“Bagaimanapun saya yakin pasukan ini mampu beraksi dengan lebih baik berbanding dengan apa yang ditampilkan dalam saingan AFF B-23 tempoh hari,” katanya.

Ditanya mengenai ketiadaan dua pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid dalam senarai tersebut, Chan Yew mengakui ketiadaan dua tonggak tersebut bakal memberi kesan di bahagian serangan Harimau Muda.

Bagaimanapun, katanya, dia percaya kehadiran semula Hadi Fayyadh Abdul Razak dengan Luqman Hakim Shamsudin dan beberapa pemain lain mampu mempertajamkan lagi bahagian serangan pasukan negara.

“Kesan itu sudah tentu akan ada, cumanya kita tidak tahu lagi sama ada ia besar atau tidak. Tetapi pada pandangan saya kita tidak perlu khuatir sangat dengan ketiadaan Arif Aiman dan Akhyar.

“Berdasarkan senarai itu, kita masih ada Luqman yang bagi saya masih relevan dan Hadi Fayyadh, Mukhairi Ajmal dan Nik Akif Syahiran di bahagian tengah dan penjaring terbanyak Liga Premier, Danial Asri.

“Saya yakin kehadiran mereka mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Arif Aiman dan Akhyar. Malah bukan itu sahaja, para mereka juga mampu membentuk kombinasi serangan yang ampuh bagi merobek gol lawan,” katanya.

Pada edisi Sukan SEA kali ini, skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama juara 16 kali, Thailand, Kemboja, Singapura dan Laos yang menyaksikan anak buah Maloney akan menyingkap saingan berdepan Thailand pada 7 Mei diikuti Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!