Asrama terbakar, 43 pelajar selamat

Kebakaran membabitkan asrama di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan
Kebakaran membabitkan asrama di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan
A
A
A

KLANG - Asrama Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hishammuddin Sungai Berteh di sini terbakar pada Ahad.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu tidak membabitkan sebarang kecederaan dan kehilangan jiwa berikutan semua 43 penghuninya menunaikan solat tarawih.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.46 malam.

"Seramai 29 anggota dari enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Pelabuhan Klang, Kapar, Kota Anggerik, Shah Alam dan Subang dikejarkan ke lokasi kejadian

"Pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan asrama di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Norazam berkata, operasi pemadaman di tingkat tiga segera dilakukan dengan anggaran kemusnahan 70 peratus

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.09 malam dan tidak membabitkan sebarang mangsa.

"Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!