'Ingatkan 'scammer' rupanya betul menang kereta'

Muhammad Rozairen (dua dari kiri) bersama isterinya, Siti Nadiah menunjukkan replika kunci kereta Proton Saga pada Grand Ramadan Bazar (Melgrab) di Jalan Hang Tuah di sini pada malam Ahad.
Muhammad Rozairen (dua dari kiri) bersama isterinya, Siti Nadiah menunjukkan replika kunci kereta Proton Saga pada Grand Ramadan Bazar (Melgrab) di Jalan Hang Tuah di sini pada malam Ahad.
A
A
A

MELAKA - Seorang ahli fisioterapi tidak menyangka memenangi sebuah kereta jenis Proton Saga apabila muncul sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah di Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) di Jalan Hang Tuah di sini pada malam Ahad.

Muhammad Rozairen Hairudin, 30, berkata, terkejut menerima panggilan pihak penganjur yang memaklumkan mengenainya sehari sebelum itu.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka panggilan penganjur adalah 'scammer' sebelum diberitahu dihubungi ketika pihak berkenaan membuat siaran langsung di media sosial.

Katanya, sebelum ini dia pernah mempunyai perancangan untuk membeli kereta lebih selesa memandangkan isterinya, Siti Nadiah Zulkifly, 30, mempunyai kereta Perodua Viva manakala dirinya memandu kereta Perodua Axia dan Perodua Viva.

"Alhamdulillah syukur rezeki di bulan Ramadan ini dapat kami gunakan kereta baharu pada hari raya nanti.

"Memang ada rancang nak tukar kereta sebab kami pun dah ada anak jadi lebih selesa, tak sangka rezeki kami dapat kereta raya," katanya.

Muhammad Rozairen (kiri) melihat kereta Proton Saga yang dimenanginya pada Grand Ramadan Bazar (Melgrab) di Jalan Hang Tuah di sini pada malam Ahad.
Muhammad Rozairen (kiri) melihat kereta Proton Saga yang dimenanginya pada Grand Ramadan Bazar (Melgrab) di Jalan Hang Tuah di sini pada malam Ahad.

Muhammad Rozairen berkata, hanya berbelanja kira-kira RM100 untuk membeli baju raya anak berusia tiga tahun di sebuah reruai di bazar berkenaan sebelum diberikan kupon cabutan bertuah oleh peniaga tersebut.

"Kami pergi bazar ini dua minggu lalu dan mendapat lima kupon selepas berbelanja.

"Isteri kemudian meletakkan tiga kupon atas namanya dan dua lagi kupon lagi atas nama saya, syukur terpilih," katanya.

Dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi hadiah utama tersebut namun rezeki memihak padanya.

Majlis penyampaian replika kunci kereta Proton Saga 1.3 AT Premium bernilai hampir RM50,000 disampaikan oleh Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!