Panjut 'JusticeForBella' hiasi Tasik Bukit Merah
BAGAN SERAI - Kes mahkamah membabitkan seorang kanak-kanak istimewa yang dikenali sebagai Bella menjadi inspirasi kepada Komuniti Kampung Bukit Merah di sini, menghiasi panjut dengan perkataan #JusticeForBella.
Pelita yang diperbuat daripada barang-barang terpakai itu menjadi tanda simpati komuniti itu terhadap penderitaan yang dihadapi anak syurga berusia 13 tahun itu.
Azizul Hafiz Mohd Nordin, 35, berkata, idea itu tercetus selepas mengikuti rapat perjalanan kes Bella yang memberi impak emosi cukup mendalam kepada masyarakat.
"Tempoh dua minggu digunakan untuk mengumpul tong-tong yang kemudiannya disusun dengan perkataan 'JusticeForBella' sebagai tanda simpati kami terhadap mangsa.
"Sempena bulan Ramadan ini, kita sentiasa berdoa supaya Bella dan nasib anak-anak orang kurang upaya (OKU) lain lebih diberi perhatian dan tidak ditindas lagi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.
Pelita panjut membentuk perkataan 'JusticeForBella' adalah persiapan komuniti kampung terbabit untuk mengambil bahagian dalam Pesta Panjut anjuran Pemuda UMNO Bahagian Bagan Serai.
Menurutnya, sebanyak 1,350 pelita digunakan untuk menghiasi tiga reka bentuk pelita panjut di tepi Tasik Bukit Merah.
"Bertemakan 'Kampung Halamanku' kami mengumpulkan bahan-bahan terbuang untuk dijadikan panjut antaranya tong, botol sos, tin minuman selain mengekalkan panjut daripada buluh.
"Panjut berbentuk rumah nelayan dan kereta api elektrik (ETS) dipilih berikutan ia merupakan ikon kawasan ini dengan satu-satunya landasan kereta api yang melintasi tasik," katanya.
Azizul Hafiz berkata, penyertaan kali ketiga dalam pertandingan itu diharapkan dapat membawa tuah kepada komunitinya.
"Tahun lalu, kami mereka bentuk api pelita panjut berbentuk kapal selam KRI Nanggala 402 yang mengorbankan 53 kru dan mendapat tempat ke empat.
"Pada 2017 berjaya meraih tempat ketiga menerusi pelita panjut berbentuk rumah kampung. Acara tahunan ini dapat menceriakan malam tujuh likur selain mengembalikan nostalgia pemasangan pelita," katanya.
Pada 20 Ogos 2021, Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!