[VIDEO] Baki akaun RM0.00, aplikasi Maybank berdepan masalah akses
SHAH ALAM - Pelanggan Maybank terkejut apabila jumlah wang simpanan mereka menunjukkan angka kosong ketika menyemak akaun masing-masing melalui aplikasi dalam talian bank itu pada pagi Isnin.
Keresahan pelanggan mengenai perkara tersebut diluahkan mereka di ruangan komen media sosial Maybank.
“Saya rasa panik dan risau. Hampir pengsan sebentar tadi bila semak baki akaun tinggal RM0.00,” kata Catherine Alek di Facebook.
“Ya ALLAH, boleh sakit jantung tiba-tiba buka akaun RM0.00 tau,” kata Saidatul Indaha.
Sementara itu, Maybank memaklumkan semua aplikasi perbankan dalam talian bank itu sedang mengalami pengaksesan yang perlahan ketika ini.
Maybank di Facebook memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pelanggan dan pihaknya sedang menyelesaikan isu ini dengan secepat mungkin.
“Kesabaran dan kerjasama anda amat dihargai,” katanya pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!