Origi penyerang berkelas dunia: Klopp
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp memuji aksi ditampilkan penyerangnya, Divock Origi yang membantu pasukannya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Everton di Anfield pada Isnin.
Menurut Klopp, meskipun pemain kelahiran Belgium itu tidak diturunkan dengan kerap, namun Origi sentiasa memberikan yang terbaik sekiranya dia diperlukan oleh pasukan.
"Origi adalah seorang penyerang berkelas dunia. Dia merupakan salah seorang penyudah terbaik yang pernah kami ada dan semua di sini mengakui perkara tersebut.
"Walaupun Origi jarang diturunkan bermain, namun dia sentiasa bersedia jika diperlukan oleh pasukan. Anda sendiri boleh lihat bagaimana dia membantu pasukan untuk menang pada perlawanan ini.
"Kami sebenarnya agak risau sekiranya dia ambil keputusan untuk meninggalkan kelab ini kerana dia akan menjadi seorang individu yang lebih baik daripada sebelumnya," katanya.
Pada perlawanan tersebut, percaturan Klopp membawa masuk Origi nyata membuah hasil apabila dia terlibat dalam penghasilan gol pertama perlawanan yang dijaringkan Andy Robertson pada minit ke-62.
Malah bukan itu sahaja, Origi juga turut berjaya menghasilkan satu gol pada minit ke-85 apabila menanduk masuk hantaran Diaz untuk menewaskan Pickford.
Kemenangan Liverpool itu menyaksikan perebutan gelaran liga Perdana Inggeris kini jelas semakin hangat dengan baki lima perlawanan lagi.
Liverpool kini sedang berusaha menjadi kelab Inggeris pertama menang empat trofi utama dalam semusim dan kini akan mengalih perhatian untuk aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah menentang Villarreal, Rabu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!