Tan Sri Ali Hamsa cikgu saya: Mohd Zuki
PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali menyifatkan Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa sebagai gurunya dalam perkhidmatan awam.
Selain dirinya, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan juga merupakan antara 'murid' bekas KSN ke-13 itu.
"Tan Sri (Ali) adalah cikgu, banyak ilmu yang dicurahkan kepada kami dan insya-Allah memang segala jasa Tan Sri tidak dapat dilupakan," katanya ketika menziarahi kediaman Ali di Presint 10 di sini hari ini, yang turut disertai Mohd Sallehhuddin.
Ali, 66, yang berkhidmat sebagai KSN selama enam tahun dari 2012, meninggal dunia di Hospital Dublin, Ireland pada 21 April lepas.
Penerbangan yang membawa jenazah Ali tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada kira-kira 6.30 pagi dan jenazah dibawa ke rumahnya kira-kira pukul 8.26 pagi.
Jenazah seterusnya dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3 di sini untuk penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni dari pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20.
Mohd Zuki berkata, Ali adalah seorang yang kuat bekerja dan bekerja dari hati serta banyak memberi sumbangan kepada kerajaan semasa berkhidmat sebagai KSN dan penjawat awam.
"Saya bagi pihak penjawat awam ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Kita mendoakan mudah-mudahan roh Allahyarham akan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!