Real Madrid pertaruhkan taktikal berbeza
GERGASI La Liga, Real Madrid dijangka tampil dengan taktikal berbeza pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara berdepan Manchester City di Etihad pada Rabu.
Perkara itu ditegaskan pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti yang menyifatkan sekurang-kurangnya tiga taktikal berlainan bakal digunakan untuk berdepan salah satu gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
“Kita ada taktikal baharu dan kita mahu gunakannya ketika berkunjung ke Etihad nanti. Kita mahu pastikan taktikal ini mampu membantu kejayaan pasukan (Real Madrid).
“Ia melibatkan tiga taktikal ‘besar’ dan mungkin kita akan gunakan kesemuanya atau salah satu daripadanya pada aksi separuh akhir ini.
“Apa pun, diharapkan percaturan kita ‘mengena’ kali ini atau sekurang-kurangnya untuk kita membawa bekal selesa berdepan City pada aksi separuh akhir kedua nanti,” katanya.
Untuk rekod, aksi separuh akhir kedua dijangka bakal berlangsung di Santiago Bernabeu pada 5 Mei depan.
Mengulas mengenai aksi separuh akhir pertama berkenaan, Ancelotti berkata, beliau juga mahu memastikan kesemua pemain sayap pasukan berkenaan dalam keadaan cergas.
Katanya, pemain-pemain sayap seperti Rodrygo, Valverde, Vinicius dan lain-lain dilihat sebagai antara elemen penting bagi memastikan kejayaan taktikal ‘besar’ berkenaan.
“Mungkin boleh dikatakan Real Madrid akan lebih banyak menggunakan pemain sayap bagi mengatur serangan kali ini.
“Apa pun bagi memastikan kejayaan taktikal ini, ia bukan hanya melihat kepada pemain-pemain sayap semata-mata, tetapi melibatkan keseluruhan pasukan dan posisi bermula daripada penjaga gol, pertahanan, tengah, sayap dan serangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!