1,184 murid Tahun Satu di tiga DUN terima bantuan awal persekolahan
KUANTAN - Seramai 1,184 murid tahun satu sesi 2022 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Kerdau dan Jenderak menerima agihan bantuan awal persekolahan RM100 di bawah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022, pada Ahad.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, daripada jumlah penerima itu, 609 penerima dari DUN Jengka, DUN Kerdau (302 penerima) dan DUN Jenderak (273 penerima).
Menurutnya, secara keseluruhan jumlah agihan bantuan itu bagi tiga DUN berkenaan adalah sebanyak RM118,400 iaitu DUN Jengka (RM60,900), Kerdau (RM30,200) dan Jenderak (RM27,300).
"Penyerahan bantuan ini diserahkan kepada ibu bapa murid Tahun Satu bagi tiga DUN itu pada majlis berasingan pada Ahad," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Syed Ibrahim berkata, bantuan awal persekolahan itu (murid Tahun Satu) itu antara inisiatif kerajaan negeri membantu rakyat negeri ini.
"Melalui BPP 2022, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan lebih RM2.5 juta bagi tujuan itu dengan 25,146 murid tahun satu di negeri ini menerima manfaatnya.
"Peruntukan keseluruhan bagi bidang pendidikan di bawah BPP 2022 adalah lebih RM14.2 juta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!