Muda belum buat keputusan sertai 'Khemah Besar'
GEORGETOWN - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) belum membuat keputusan muktamad untuk terlibat sama dalam cadangan 'Khemah Besar' bersama blok pembangkang lain sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presidennya, Dr Teo Lee Ken berkata, parti itu sedang mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dan sentiasa mempertimbangkan semua peluang serta pilihan yang ada.
Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini Muda masih belum membuat sebarang kata putus lagi.
"Sebenarnya saya tidak boleh jawab soalan ini dan ia perlu diserahkan kepada Presiden kami. Namun sebagai titik mula, kita selalu sokong kebersatuan blok pembangkang antara Pakatan Harapan (PH) dan beberapa rakan lain.
"Di peringkat Muda, memang ada perbincangan dan selalu mengambil maklum dengan semua peluang dan pilihan yang ada. Mengenai 'Khemah Besar' ini, ia adalah salah satu isu dalam perbincangan kami. Bagaimanapun, tiada keputusan akhir (muktamad) lagi malah tiada apa-apa sokongan.
"Kami berpendapat, masih perlu lebih banyak perbincangan yang perlu diadakan mengenai perkara ini," katanya kepada media selepas Pelancaran Kerjasama Rasmi ACTnow dan Muda Pulau Pinang di sini pada Isnin.
Kata Lee Ken, Muda peka dengan semua pilihan dan perbincangan mengenai perkara tersebut walaupun belum membuat sebarang keputusan akhir.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub meminta pimpinan parti pihak pembangkang berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan pendekatan 'Khemah Besar' sebagai persediaan menghadapi PRU15.
Katanya,kesepakatan barisan pembangkang cukup penting bagi PRU15 kelak dengan hanya satu musuh utama iaitu Barisan Nasional (BN).
Dalam perkembangan lain, Lee Ken berkata, sambutan parti baharu itu di negeri ini amat memberangsangkan apabila terdapat 3,000 ahli yang berdaftar.
"Sambutan yang diterima baik, yang mana Pulau Pinang antara negeri yang kami tumpukan selain Sabah; Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor. Pulau Pinang juga antara negeri yang aktif.
"Setakat ini, ahli Muda di seluruh negara yang direkodkan adalah antara 70,000 hingga 75,000 orang," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai aplikasi ACTnow, Pengerusi Muda Pulau Pinang, Jazz Tan berkata, pihaknya teruja dengan kewujudan platform mesra pengguna yang memberi peluang kepada parti itu untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Katanya, aplikasi itu sesuai dengan pegangan Muda iaitu politik khidmat apabila ia dapat mengetahui masalah rakyat dengan dengan jelas, telus dan boleh diaudit.
Aplikasi ACTnow diwujudkan sebagai aplikasi percuma untuk memelihara dan membela kebajikan orang awam, dengan cara yang mudah untuk digunakan.
ACTnow telah diterima oleh 155 pihak berkuasa tempatan di bagara ini sebagai landasan untuk mengetengahkan masalah masyarakat setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!