Ekspo meriah, peniaga ceria jumlah pengunjung meningkat
TEMERLOH - Peniaga di Ekspo Aidilfitri di Dataran Temerloh di sini kini menarik nafas lega berikutan pengunjung yang tidak putus-putus membeli-belah di tapak ekspo tersebut sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan Sinar Harian pada Ahad, ekspo yang bermula jam 5 petang hingga 1 pagi itu meriah dengan kehadiran pengunjung bertali arus mendapatkan barangan pilihan masing-masing.
Bagi peniaga, sambutan memberangsangkan itu memberikan kelegaan buat mereka selepas berdepan detik sukar berikutan penularan Covid-19 sejak beberapa tahun lalu.
Peniaga pakaian, Julia Muhamad, 49, memberitahu, jumlah pengunjung semakin bertambah setiap hari.
"Memang pada mulanya agak perlahan namun syukur situasi semakin positif dan orang ramai kian bertambah mengunjungi ekspo ini.
"Jumlah pengunjung lagi tinggi bermula Jumaat lalu kerana masing-masing mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membeli-belah," katanya lagi telah menyertai ekspo tersebut sejak sembilan tahun lalu.
Peniaga tudung, Elly Yahaya, 37, mengakui hasil jualan semakin bertambah dan pengeluaran khas Kumpulan Wang Pekerja (KWSP) yang diterima orang ramai antara faktor kemeriahan tahun ini.
"Rasa memang seronok tahun ini dan pelanggan tak putus-putus membeli tahun ini.
"Memang meriah berbanding hari pertama beroperasi pada 9 April lalu dan amat bersyukur dengan situasi ini," ujarnya telah 10 tahun menyertai ekspo tersebut.
Sementara itu bagi seorang suri rumah, Rozila Ramli, 42, pula memberitahu, mengambil peluang waktu hujung minggu sebaik mungkin bagi mendapatkan keperluan sempena Aidilfitri tahun ini.
"Memang nampak meriah namun saya tetap ambil langkah berjaga-jaga bila melihat situasi sesak sebegini," tambahnya.
Seorang pekerja swasta, Rohani Razak, 52, juga tidak melepaskan peluang mendapatkan biskut raya serta pakaian untuk ahli keluarganya.
"Ambil peluang ini kerana hujung minggu depan lagi sesak dan saya perlu selesaikan persiapan di rumah pula," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!