Polis buru 69 tahanan masih bebas
ALOR SETAR - Polis giat memburu baki 69 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu pada Rabu.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, jumlah tahanan yang belum ditemui itu membabitkan 58 lelaki, enam wanita, empat kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki.
Bagaimanapun menurutnya, tahanan yang masih belum dijumpai itu semakin berkurangan di mana pada Ahad berbaki 72 orang.
“Setiap hari ada tangkapan dibuat dalam kumpulan kecil, kita akan kemas kini tangkapan setiap awal pagi.
"Terbaharu jumlah direkodkan adalah 69 tahanan yang lolos dari depot masih bebas setakat jam 6 pagi tadi,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Wan Hassan berkata, seramai 459 tahanan etnik Rohingya daripada keseluruhan 528 tahanan yang meloloskan diri dari depot tahanan itu telah ditemui.
"Setakat ini, tahanan yang ditemui itu membabitkan 236 lelaki, 91 wanita, 68 kanak-kanak lelaki dan 64 kanak-kanak perempuan,” katanya.
Menurutnya, jumlah tahanan terkini yang ditempatkan di depot berkenaan adalah seramai tiga orang dan kesemuanya lelaki.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seramai kira-kira 700 tahanan dari Depot Imigresen Sementara Relau melarikan diri dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi.
Daripada jumlah itu, enam tahanan yang cuba melintas di Kilometer 165 Lebuhraya Utara Selatan maut dilanggar kenderaan dalam kejadian lebih kurang 6.50 pagi.
Mangsa maut terdiri daripada masing-masing dua lelaki dan wanita dewasa, manakala masing-masing seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!