Yadim Kelantan dekati pelbagai kaum semarak semangat Keluarga Malaysia
KOTA BHARU - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan mendekati masyarakat pelbagai kaum di negeri ini dalam usaha menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia.
Pengarahnya, Mahadi Awang berkata, pendekatan itu dibuat menerusi sambutan Aidilfitri dengan membawa semangat Keluarga Malaysia.
"Setelah dua tahun kita tidak dapat beraya secara muhibah, tahun ini kami rancang untuk membuat jamuan muhibah.
"Jamuan Muhibah Aidilfitri bersama masyarakat berbilang kaum melibatkan Cina, India dan Siam," katanya selepas menyampaikan biskut raya kepada ahli Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Jabatan Penyiaran Kelantan pada Isnin.
Hadir sama Presiden Kemudi, Majidah Ismail serta wakil agensi media Kelantan.
Menurutnya, sepanjang Ramadan sebanyak 40 program disusun Yadim pada tahun ini bagi memeriahkan lagi bulan kebesaran umat Islam itu.
Beliau berkata, ia merangkumi pelbagai program antaranya Program Musaadah Yadim, Program Prihatin Asnaf dan Program Jelajah Barokah Sahur.
Mahadi berkata, pihaknya memperuntukkan RM50,000 bagi Program Ihya Ramadan Yadim di seluruh negeri ini sepanjang tempoh sebulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!