Tol percuma, diskaun Sabtu ini
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengguna Lebuhraya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Anih Berhad (Anih) bakal menikmati perjalanan tol percuma bermula Sabtu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dilakukan selepas sesi rundingan kerajaan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya.
Menurutnya, jumlah diskaun dinikmati pengguna adalah sebanyak RM77.11 juta.
"Pemberian tol percuma dan diskaun tersebut bermula jam 12 tengah malam pada Sabtu dan sehingga 11.59 malam keesokan harinya.
"Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, pemberian tol percuma kepada semua kelas kenderaan di Lebuhraya Utara - Selatan dan LPT juga akan diberikan untuk Keluarga Malaysia pulang semula ke kediaman masing-masing bermula jam 12 tengah malam pada 7 Mei hingga jam 11:59 malam pada 8 Mei," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ismail Sabri berkata, tawaran diskaun tol antara 30 dan 50 peratus turut diberikan kepada lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.
"Selaras dengan fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu dan sempena sambutan perayaan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia yang pulang berhari raya," katanya.
Pemberian tol percuma adalah meliputi Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Seremban- Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE), Laluan Kedua Malaysia Singapura (Linkedua), Jambatan Pulau Pinang (JPP), Lebuhraya LPT 1 dan 2, serta Lebuhraya Karak.
Diskaun tol sebanyak 50 peratus adalah membabitkan Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP), Lebuhraya Cheras- Kajang (Grandsaga), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang - KL (AKLEH), Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE).
Manakala diskaun tol 30 peratus boleh dinikmati pengguna Lebuhraya Projek Pengurusan Air Banjir Dan Terowong (SMART), Lebuhraya Koridor Guthrie (Guthtie), Lebuhraya KL- Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam ( LKSA ), Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK), Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (JPP2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL-Barat (SPRINT), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (Grand Sepadu), Lebuhraya Senai - Desaru (SDE) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!