Yayasan Restu, MACMA hasil tafsir al-Quran dalam bahasa Cina
SHAH ALAM - Yayasan Restu dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) mengambil masa selama enam tahun bagi menghasilkan tafsir al-Quran dalam bahasa Cina.
Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, usaha bermula dengan pelancaran Juzuk Amma dan surah-surah pilihan serta terjemahannya dalam bahasa Cina dan pemasyhuran Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor pada 28 Mei 2016 oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Menurut Abdul Latiff, proses penyediaan tafsir al-Quran itu juga menelan perbelanjaan yang besar serta melibatkan banyak pihak serta pelbagai lapisan masyarakat.
"Inilah pengorbanan dan sumbangan yang amat bermakna kepada ummah, demi cinta kita kepada bangsa, negara dan lebih-lebih lagi kepada ALLAH.
"Selain itu, usaha ini juga diharap dapat memberi daya tarikan untuk masyarakat Cina membaca, memahami serta mengamalkan ajaran al-Quran selain mewujudkan kecintaan dan jati diri bangsa," katanya.
Beliau berkata demikian pada Pada Majlis Pelancaran Al-Quran Al-Karim dan Terjemahan Bahasa Cina disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, di sini pada Isnin.
Baginda yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut mencemar duli melawat ruang pameran disediakan sempena majlis pelancaran tersebut.
Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata, teks al-Quran mushaf ini adalah daripada manuskrip salinan tangan Yayasan Restu yang disalin mengikut format Mushaf Madinah al-Munawwarah.
Beliau berkata, terjemahan bahasa Cina merujuk kepada terjemahan Muhammad Ma-jian, iaitu al-Quran terjemahan bahasa Mandarin terbitan Madinah, Arab Saudi.
"Usaha pembaikan dilakukan oleh Jawatankuasa Lajnah Al-Quran dan Terjemahan Bahasa Cina Yayasan Restu diketuai Ustaz Abdul Kadir Leong bersumberkan daripada kitab-kitab tafsir muktabar dan beberapa terjemahan bahasa Cina.
"Bagi memudahkan pembaca, setiap kalimah yang merujuk kepada ALLAH menggunakan warna merah, manakala yang merujuk kepada Nabi Muhammad SAW menggunakan warna hijau," katanya.
Katanya lagi, mushaf itu sesuai sebagai bahan dakwah Islam dalam usaha memperkenalkan ajaran Islam kepada masyarakat Cina yang masih belum memeluk agama Islam dan Cina Muslim Malaysia atau luar negara.
Tambahnya, al-Quran terjemahan bahasa Cina itu telah mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Bahagian Kawalan dan Penerbitan Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!