Lima lelaki ditahan dalam Op Samseng Jalanan
BENTONG - Polis menahan lima lelaki ditahan atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam Op Samseng Jalanan di daerah ini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kesemua mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bermula jam 1.30 pagi hingga 4 pagi.
Menurutnya, kesemua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia antara 16 hingga 33 tahun.
"Antara kesalahan dilakukan menduga kelajuan di atas jalan raya yang disiasat mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Dalam operasi itu juga, sebanyak 28 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik," katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, Seksyen 81(3) APJ 1987 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Operasi ini dijalankan bagi mencegah samseng jalanan kerana masih ada segelintir penunggang motosikal melakukan kesalahan terutamanya berlumba walaupun operasi dan penguatkuasaan sering dijalankan.
"Kita memandang serius isu penunggang motosikal dan tidak akan berkompromi dengan pesalah trafik selain operasi secara berterusan akan dijalankan untuk memastikan pengguna jalan raya di Bentong mematuhi peraturan ditetapkan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!