Masalah jentera ganggu tunggangan Hafizh
MASALAH jentera menjejaskan persembahan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dalam dua perlumbaan Pusingan 2 Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) di Litar TT Assen.
Hafizh mengakui, tidak berpuas hati dengan jenteranya apabila sekadar menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-20 sebelum mengakhiri Perlumbaan 2 di kedudukan ke-17.
“Untuk perlumbaan kali ini, saya betul-betul kecewa dengan keputusan yang saya bagi kepada pasukan dan peminat yang sentiasa memberi sokongan penuh kepada saya.
“Saya tak tahu nak cakap macam mana sebab saya tidak mempunyai material untuk meningkatkan lagi prestasi jentera. Krew pasukan juga tahu jentera kami tak mampu menandingi pelumba lain.
“Jadi saya harap perlumbaan akan datang ada satu perkembangan ketara untuk jentera saya,” katanya dalam klip audio yang dikongsikan kepada media pada Isnin.
Masalah sama turut menimpa rakan sepasukanya Hafizh, Leandro Mercado dari Argentina apabila dia menduduki tempat ke-15 dan ke-19.
“Saya masih yakin dengan diri saya untuk terus memberi saingan cuma terpaksa akui buat sementara waktu ini adalah keputusan yang mampu saya berikan.
“Saya akan terus bekerja keras dengan pengalaman yang saya ada dan cuba untuk kekalkan motivasi yang tinggi,” ujarnya yang menggalas cabaran MIE Racing Honda Team.
Pada saingan pembuka tirai WSBK di Aragon sebelum ini, Hafizh menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-21 dan menduduki tempat ke-20 (Perlumbaan 2).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!