Sekatan AS kembalikan wanita Afghanistan ke lembah kemiskinan
BAMIYAN - Seperti semua perniagaan lain di Afghanistan, pasar kraf popular yang dikendalikan golongan wanita di wilayah Bamiyan, Bazaarcha-e-Hunar semakin hilang popularitinya sebagai destinasi pelancongan.
"Pandemik dan perubahan politik telah merosakkan perniagaan saya," kata peniaga Humira Ahmadi kepada Xinhua baru-baru ini.
Susulan pengunduran tentera asing yang diketuai Amerika Syarikat (AS) pada Ogos lepas, Taliban mengambil alih pentadbiran Afghanistan, menyebabkan kerajaan AS telah membekukan hampir AS$10 bilion aset bank pusat Afghanistan, memburukkan lagi ekonomi negara itu.
Presiden Joe Biden pada Februari mengeluarkan satu dekri, memperuntukkan AS$3.5 bilion daripada jumlah aset yang dibekukan itu kepada keluarga mangsa 9/11 manakala AS$3.5 bilion lagi untuk bantuan kemanusiaan di Afghanistan.
"Saya memperoleh sehingga 150,000 afghani (AS$1,726) sejak beberapa tahun lalu. Sekarang saya dikira bernasib baik kerana masih dapat 500 afghani setiap minggu.
"Sebelum perubahan politik, 50 wanita bekerja di sini, kini hanya ada kira-kira 10 orang sahaja. Dahulu terdapat hampir 100 persatuan wanita di Bamiyan tetapi kini lebih 500 wanita hilang pekerjaan dan pendapatan," kata Ahmadi.
Sementara itu, Sabira, 25, yang menjual kraftangan bersama ibunya di bazar itu, turut berkongsi kisah perniagaannya yang kian suram.
"Jika dulu, kami dikunjungi ramai pelancong dari seluruh dunia, kini tidak lagi. Penduduk tempatan membeli beberapa produk kami tetapi ia tidak serancak sebelum ini.
"Perubahan dalam perniagaan kami sangat ketara. Dulu pelanggan sangat ramai berbanding sekarang. Perniagaan kami laris dan pendapatan boleh mencecah 1,000 hingga 5,000 afghani setiap hari, tetapi sekarang nak dapatkan 200 afghani pun payah," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!