Pahang, UnIPSAS kerjasama tawar program profesional pentadbiran awam
KUANTAN - Pahang menjadi negeri pertama yang mengadakan Program Profesional Pentadbiran Awam bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam di negeri ini menerusi kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program terbabit adalah cetusan idea daripada pentadbiran pejabat setiausaha kerajaan Pahang yang bersungguh mahu mewujudkan perkhidmatan awam yang berpretasi tinggi, berintegriti dan cekap.
Menurutnya, susulan itu seramai 156 penjawat awam negeri lantikan baharu berjaya peroleh sijil profesional mereka pada Isnin.
“Kita membuka peluang mereka yang telah bekerja untuk mengikuti pelajaran secara atas talian dengan mengikuti tiga komponen pengajian iaitu profesionalisme, pembangunan modal insan dan pengajian Islam. Dengan adanya program ini membantu meningkatkan produktiviti serta memberi manfaat kepada diri sendiri dan rakyat (dari segi perkhidmatan).
“Program ini terbuka kepada semua (kakitangan kerajaan negeri) mengikut syarat yang ditetapkan. Kerajaan negeri bersama UnIPSAS juga ada perancangan untuk sesiapa yang bekerja, pengalaman kerja itu boleh dipindahkan sebagai kredit untuk program diploma, Ijazah dan sebagainya.
"Jadi, ini merupakan medan untuk penjawat awam dilatih dan dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran yang sesuai dengan bidang tugas masing-masing di samping memperkasakan kemahiran yang pelbagai seperti komunikasi, kaunseling, pengajian jawi dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pertama Program Profesional Pentadbiran Awam Negeri Pahang, di Auditorium Tuanku Canselor UniPSAS di sini pada Isnin.
Wan Rosdy menjelaskan, program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang dengan membuka lebih banyak peluang kepada kakitangan awam.
“Usaha ini akan berterusan dan kita akan meneliti sama ada mereka yang mengikuti kursus ini diberikan kenaikan pangkat, bonus atau penghargaan kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengikuti program.
"Justeru, kita berharap sekurang-kurangnya 30 peratus dari 156 kakitangan awam yang menerima sijil program profesional berkenaan akan terus melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pembelajaran ini adalah proses sepanjang hayat. Jika anda datang bekerja hanya semata untuk bekerja, itu salah. Anda datang bekerja adalah untuk belajar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!