Pelajar asrama terbakar diberi cuti khas
KLANG - Pelajar lelaki di Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hishammuddin di sini yang terbabit dalam kejadian kebakaran di asrama mereka pada malam Ahad dibenarkan untuk bercuti.
Bapa salah seorang pelajar lelaki yang tinggal di asrama berkata, cuti khas bermula Isnin itu diberikan berikutan pelajar lelaki tiada tempat tinggal, selain bagi memberi ruang untuk siasatan dijalankan.
"Cuti diberikan kepada pelajar terbabit bermula hari ini dan ada juga sudah pulang ke rumah selepas kejadian malam tadi," katanya yang enggan dikenali ketika ditemui di luar pekarangan SAMT Sultan Hishammuddin di sini pada Isnin.
Sementara itu, seorang lagi bapa pelajar, Zulkifli Azhar, 44, berkata, bagaimanapun, pelajar yang tidak tinggal di asrama masih perlu meneruskan persekolahan seperti biasa sepanjang minggu ini.
"Mereka (pelajar asrama) juga sebenar boleh ke sekolah seperti biasa jika mereka tinggal dekat kawasan ini, saya difahamkan begitulah," katanya ditemui ketika mengambil anaknya di sekolah itu.
Sementara itu, pihak sekolah ketika ditemui Sinar Harian tidak mahu memberikan sebarang kenyataan mengenai perkara itu sebaliknya meminta ia dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah Klang.
Pada Ahad malam, seramai 43 pelajar lelaki SAMT Sultan Hishammuddin terselamat apabila asrama sekolah itu terbakar dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa kerana semua penghuni asrama berkenaan sedang menunaikan solat tarawih.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis dilaporkan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan jam 9.40 malam.
Menurutnya, operasi itu disertai sepasukan 29 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kapar, Kota Anggerik, Shah Alam dan Subang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!