Israel ‘hormati’ status quo Masjid al-Aqsa

Israel beri jaminan tiada rancangan untuk membahagikan kawasan Haram al-Sharif tersebut mengikut agama. - Foto AFP
Israel beri jaminan tiada rancangan untuk membahagikan kawasan Haram al-Sharif tersebut mengikut agama. - Foto AFP
A
A
A

TEL AVIV - Menteri Luar Israel, Yair Lapid pada Ahad menyatakan mereka ‘menghormati’ status quo yang melarang penduduk Yahudi melakukan ibadat di pekarangan Masjid al-Aqsa (Haram al-Sharif) yang menyaksikan pertempuran ganas kembali berulang pada pertengahan bulan Ramadan.

Kenyataan itu dibuat setelah insiden keganasan berterusan di wilayah Palestin dan Tel Aviv telah meragut sekurang-kurangnya 38 nyawa sejak akhir bulan lalu dan diburukkan lagi dengan kejadian pertempuran di Baitulmaqdis dan berbalas serangan antara rejim Zionis dan pejuang Hamas di Genting Gaza.

“Penduduk Muslim boleh beribadat di Haram al-Sharif manakala orang bukan Islam hanya dibenarkan mengadakan lawatan.

“Tidak akan ada perubahan tentang perkara itu. Kami tiada rancangan untuk membahagikan kompleks itu mengikut agama,” katanya merujuk kepada tempat ketiga paling suci orang Islam selepas Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi.

Sebelum ini, Israel dan Palestin saling menuding jari menyalahkan satu antara sama lain kerana meningkatkan ketegangan di Baitulmaqdis dan sebuah lagi lokasi tempat suci berhampiran Hebron.

Konflik semakin memuncak selepas rejim Zionis melakukan tindakan provokasi yang mencemari kesucian al-Aqsa.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Naftali Bennett juga dilaporkan menghubungi Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden untuk memaklumkan kepada sekutunya tentang usaha bagi menghentikan keganasan di kota suci tersebut.

Sejak Sabtu lalu, rejim Tel Aviv bertindak menutup lintasan sempadan dari Gaza sebagai respons terhadap serangan balas dari wilayah tersebut. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!