Op Hari Raya: Cuti pegawai, anggota penguat kuasa JPJ dibeku

Lokman (tengah) melihat slip pemeriksaan bas oleh JPJ sebelum mengadakan sidang akhbar pemeriksaan depoh bas di Depoh Bas Sani Ekspress, Klang Sentral pada Isnin. - Foto Bernama
Lokman (tengah) melihat slip pemeriksaan bas oleh JPJ sebelum mengadakan sidang akhbar pemeriksaan depoh bas di Depoh Bas Sani Ekspress, Klang Sentral pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Seramai 2,200 pegawai dan anggota daripada bahagian penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara dibekukan cuti sepanjang pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2022.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, operasi khas yang akan bermula 29 April hingga 8 Mei itu memfokuskan penguatkuasaan dan advokasi bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya ketika perayaan Aidilfitri.

Lokman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 300 anggota dan pegawai di Selangor dibekukan cuti dengan 160 daripada mereka akan ditugaskan di lapangan pada satu-satu masa.

Beliau berkata, kesemua penguat kuasa akan ditugaskan bagi menjalankan pemantauan menyeluruh di semua kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas iaitu kawasan kerap berlaku kemalangan dan kesesakan serta melaksanakan pemeriksaan bas di depoh, lebuh raya dan jalan utama.

"Selain itu, Op HRA menumpukan operasi khas motosikal, penyamaran rambang anggota sebagai penumpang bas dan pematuhan penggunaan Lesen Permit Sementara (LPS)," katanya selepas melakukan pemeriksaan bas di Depoh Bas Sani Ekspress, Klang Sentral di sini, pada Isnin.

Lokman berkata, pihaknya telah memeriksa 50 peratus daripada 77 depoh bas di seluruh negara dan setakat ini kesemua bas berada dalam keadaan baik untuk beroperasi.

"Kita melaksanakan pemeriksaan bersifat teknikal dari segi brek, enjin, pengudaraan dan pendawaian sama ada berfungsi dengan baik atau tidak.

"Setakat ini, hampir sebahagian besar depoh itu sudah diperiksa dan tiada kesalahan atau tindakan penguatkuasaan diambil," katanya.

Lokman berkata, pihaknya menjangkakan lebih 14 juta kenderaan akan membanjiri jalan raya sepanjang musim perayaan dengan dua juta daripadanya akan berada di atas lebuh raya pada satu-satu masa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!