KPM umum Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Satu Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Bagaimanapun Menterinya, Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia akan dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19.
"Insya-ALLAH pihak kementerian menunggu pengumuman terkini KKM terlebih dahulu," katanya pada Majlis Ihya Ramadan bersama media, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, KPM tidak berhasrat menutup semula sekolah berikutan operasi sektor lain telah dilonggarkan pada ketika ini.
"Sebab itu kita lebih cermat... Biar lambat asalkan selamat.
"Tutup sekolah ini penat tuan-tuan dan puan-puan, tutup kena marah, buka kena marah, tukar tarikh kena marah," katanya.
Sebelum ini, Radzi dilaporkan berkata, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 bakal diumumkan bulan ini.
Ia termasuk aktiviti kokurikulum dibenarkan antara sekolah berbanding sebelum ini hanya berlangsung dalam sekolah selain penggunaan kantin.
KKM dijadualkan akan mengumumkan kelonggaran SOP pandemik Covid-19 pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!