Pekerja pasar raya maut dirempuh treler

Keadaan motosikal mangsa selepas dirempuh sebuah treler di Kilometer 137 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kijal, Kemaman pada Isnin.
Keadaan motosikal mangsa selepas dirempuh sebuah treler di Kilometer 137 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kijal, Kemaman pada Isnin.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pekerja di sebuah pasar raya maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terjatuh dan dirempuh sebuah treler di Kilometer 137 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kijal di sini, pada Isnin.

Kejadian berlaku sekitar jam 9.40 pagi itu menyebabkan mangsa, Nur Qasrina Abdul Kassim, 27, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Baru Bukit Teruna, di sini, menunggang motosikal dari arah Kemasik, menghala ke Bandar Chukai sebelum terlibat nahas itu.

Katanya, mangsa dilanggar treler jenis Scania dipandu lelaki berusia 34 tahun yang turut menghala ke arah sama.

Treler jenis Scania dipandu lelaki berusia 34 tahun yang melanggar Nur Qasrina.
Treler jenis Scania dipandu lelaki berusia 34 tahun yang melanggar Nur Qasrina.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa hilang kawalan selepas motosikalnya ditunggangnya tergelincir disebabkan bahu jalan tinggi dan baru diturap tar.

"Motosikal mangsa yang hilang kawalan terbabas masuk ke laluan treler menyebabkan mangsa terjatuh dan dilanggar treler berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Menurut Hanyan, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!