Pemilik akaun Facebook fitnah polis disiasat
IPOH - Polis menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook yang memuat naik kenyataan berunsurkan fitnah terhadap pegawainya yang didakwa melindungi aktiviti narkotik dan penjualan mercun di sekitar Ipoh pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, satu laporan polis telah diterima berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh pengguna akaun 'Antidadah Rasuah Tamanku' itu.
"Status Facebook tersebut mendedahkan nama beberapa kawasan yang dikatakan menjadi tumpuan aktiviti berkenaan di kawasan Pengkalan, Pasir Puteh, Kampung Sri Kinta, Station 18 dan Kampung Cempaka Sari.
"Pengguna akaun tersebut mendakwa pihak polis melindungi aktiviti-aktiviti jenayah berkenaan dan mempunyai masalah integriti," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati akaun Facebook terbabit disyaki palsu dengan hanya memuat naik status tersebut.
"Polis memandang serius terhadap tohmahan ini dan siasatan terperinci akan dijalankan berhubung maklumat-maklumat tersebut untuk pengesahan.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi hingga menjejaskan siasatan polis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!