Penggantian, naik taraf lif di PPR, PA dilaksana dalam lima fasa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerja-kerja penggantian dan menarik taraf 306 unit lif di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan secara berfasa dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Menurut kenyataan DBKL yang dikeluarkan pada Isnin, kerja-kerja penggantian dan menaik taraf lif dalam lima fasa itu membabitkan kos RM169.6 juta.

Fasa 1 penggantian dan menaik taraf lif melibatkan 12 kawasan perumahan iaitu PA Seri Kota, PA Seri Sabah 3A, PA Seri Sabah 3B, PPR Desa Petaling, PPR Salak Selatan, PPR Seri Anggerik, PPR Sungai Bonus, PA Hang Tuah, PA Loke Yew, PA Seri Selangor, PPR Bukit Jalil 1 dan PPR Bukit Jalil 2.

"Keseluruhan penggantian lif adalah 104 unit dan dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun 2022," katanya.

Fasa 2 pula membabitkan 109 unit di 10 kawasan meliputi PPR Raya Permai, PPR Seri Malaysia, PA Seri Perak, PPR Seri Alam, PA Kerinci 1A, PPR Kerinci, PPR Seri Cempaka, PPR Kampung Muhibah, PPR Semarak dan PA Seri Tioman.

"Bagi proses penggantian lif di PA Seri Perak, satu mesyuarat prapenyerahan tapak kepada syarikat yang berjaya telah diadakan bagi membolehkan kerja-kerja dimulakan pada 1 Julai depan dan dijangka siap pada Oktober 2023," katanya.

Fasa 3 pula melibatkan 18 unit lif di PPR Desa Tun Razak dan PA Seri Sarawak, manakala 48 unit lif akan dinaik taraf dan diganti di PPR Batu Muda, PPR Laksamana, PPR Perkasa dan PPR Pekan Kepong pada Fasa 4.

Sementara Fasa 5 melibatkan tiga kawasan iaitu PPR Bukit Jalil (Blok L,M,G & H), PA Seri Terengganu dan Seri Pangkor (1 & 2) dengan 27 unit lif untuk penggantian.

DBKL berkata: "Sebelum kerja-kerja penggantian lif baharu dimulakan, penyelenggaraan berkala serta pemantauan lif sentiasa dilaksanakan oleh kontraktor sedia ada di tapak yang juga bertanggungjawab sekiranya lif mengalami kerosakan." - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!