Agong, Permaisuri berbuka puasa bersama warga ATM
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan, di Jalan Padang Tembak, di sini, pada Isnin.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang.
Turut mengiringi, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut Laksamana, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Majlis berbuka puasa yang diadakan setelah dua tahun tidak dilaksanakan akibat penularan pandemik Covid-19 itu dihadiri kira-kira 800 warga ATM.
Seri Paduka berdua turut berkenan menunaikan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan Mejar Dr Muhammad Syukri Zahari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!