Kerajaan puji kecekapan PDRM

Mahathir (tengah) ketika hadir pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-212 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Mahathir (tengah) ketika hadir pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-212 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini memuji kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas kesungguhan dan komitmen mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penurunan indeks jenayah negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, indeks jenayah bagi tahun 2018 telah merekodkan sebanyak 88,662 kes berbanding dengan nilai ambang atau threshold sasaran sebanyak 100,611 kes. Ianya penurunan sebanyak 11.9 peratus.

"Statistik ini membuktikan komitmen PDRM untuk memenuhi harapan masyarakat yang sekarang ini amat peka terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan mereka.

"Syabas juga saya ucapkan kepada seluruh warga PDRM," katanya ketika berucap di Perbarisan Peringatan Hari Polis ke 212 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Mahathir berkata, tugas dalam bidang kepolisan ini bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi apabila berhadapan dengan situasi dan cabaran keselamatan negara yang semakin kompleks.

"Berdasarkan perkembangan dan cabaran semasa, PDRM bukan sahaja berhadapan dengan cabaran dalam konteks jenayah konvensional, ancaman pengganas atau terroris adakalanya amat luar biasa dan ini tentunya menuntut agensi keselamatan terutama PDRM untuk menanganinya secara tegas, strategik dan berkesan.

"Dalam konteks ini, kerajaan berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan keupayaan yang diperlihatkan oleh anggota keselamatan seperti PDRM dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuklah dalam menangani ancaman militan Daesh di negara. Sehingga kini, seramai 464 orang ahli kumpulan pengganas Daesh telah ditangkap polis. Kerajaan percaya ini dapat dicapai kerana PDRM dan anggota keselamatan yang lain memiliki pasukan risikan yang mampu menangani isu yang kompleks membabitkan kumpulan militan ini," katanya.

Mahathir menambah, setiap lapisan rakyat diseru agar terus bekerjasama dan membantu PDRM di dalam menangani perlakuan jenayah dan membanteras usaha dan tindakan anasir-anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara dan ketenteraman rakyat.

"Rakyat perlu sedar walaupun amanah untuk menjaga keselamatan Negara terletak di bahu PDRM, keberkesanan tindakan-tindakan mereka bergantung kepada kerjasama kita," katanya lagi.

Menurutnya lagi, kerajaan turut prihatin terhadap keperluan pasukan polis untuk meningkatkan keupayaannya terutama pada masa kini di mana beban tugas yang semakin mencabar.

"Sungguhpun ia melibatkan kos tambahan, kerajaan akan tetap menyalurkan peruntukan yang diperlukan untuk memastikan pasukan polis kita mempunyai kelengkapan yang sesuai dan terkini," katanya.

Terdahulu, Sambutan Hari Polis ke 212 berlangsung meriah. Perbarisan Kawalan Kehormat diketuai Pegawai Pemerintah Baris, Deputi Superintendan Mohd Zulfadly Zulkifli.

Keseluruhan kekuatan adalah seramai 102 orang dari Pasukan Simpanan Persekutuan Polis Diraja Malaysia.

Antara detachment yang mengambil bahagian dalam perbarisan adalah Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq, PGA Tiger Platoon, Unit Anti Rusuhan (PORU) PGA dan Unit Berkuda PDRM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!