Liverpool perlu berhati-hati berdepan Villareal
PEMAIN Liverpool diingatkan sentiasa berhati-hati ketika berdepan Villareal bagi aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Anfield, pada Khamis.
Pengendali The Reds, Jurgen Klopp menegaskan skuad The Yellow Submarine itu kini ternyata dalam momentum yang baik setelah menyingkirkan gergasi Serie A, Juventus serta gergasi Bundesliga, Bayern Munich dalam laluannya ke separuh akhir.
Oleh itu Klopp mahu kesebelasan pemain memberikan fokus di sepanjang perlawanan selain berwaspada dengan corak taktikal yang dipamerkan pelawat kelak.
“Saya telah melihat keputusan yang dicatatkan Villareal. Ia nyata mengagumkan apabila mereka menyingkirkan Juventus pada pusingan 16 dan menjadikan Bayern Munich sebagai mangsa pada suku akhir.
“Bagi saya, ia satu keputusan yang luar biasa dan mereka berhak mendapatkannya setelah beraksi cemerlang ketika berdepan kedua-dua pasukan gergasi itu.
“Kini, kita pula berdepan dengan mereka dan seperti semua sedia maklum, pengendali Villareal merupakan ‘raja segala piala’ Unai Emery. Oleh itu, untuk berdepan mereka memerlukan persiapan yang rapi,” katanya.
Liverpool mara ke separuh akhir setelah muncul juara Kumpulan B selain menewaskan Inter Milan pada pusingan 16 dan Benfica (suku akhir).
Aksi separuh akhir kedua bakal berlangsung pada 4 Mei di El Madrigal.
Sementara itu Klopp menyifatkan persiapan The Reds berjalan seperti biasa dengan kesemua pemain disahkan cergas dan boleh beraksi.
Katanya, keadaan sedemikian diharap berterusan dalam usahanya menyenaraikan kesebelasan terbaik kelak.
“Saya gembira dengan situasi semasa pasukan ketika ini, namun dalam masa sama, kesemua pemain diingatkan tidak terlalu teruja beraksi di separuh akhir.
“Orang ramai mungkin melihat dari segi berapa jumlah gol yang kami lepaskan dan sebagainya, tetapi saya mahu pemain untuk kekal fokus,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!