22 NGO kini sertai gabungan MyAqsa Defenders

MUHAMMAD NADIR
MUHAMMAD NADIR
A
A
A

KAJANG - Bakal meraikan setahun penubuhannya Mei ini, MyAqsa Defenders (MyAD) kini berjaya menarik penyertaan 22 badan bukan kerajaan (NGO) berbanding 18 sebelum ini.

Pengerusi MyAqsa Defenders (MyAD), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, pada masa ini juga masih ada NGO yang memohon untuk turut serta, namun ia terpaksa dihadkan terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, kita sebenarnya banyak menerima permintaan untuk masuk ke MyAD tapi kita meletakkan beberapa syarat.

“Kalau ikutkan gabung lain ada puluhan yang bersama dengan kita tapi fokus mereka bukan untuk Palestin.

Bagaimanapun mereka (tetap) bersedia membantu bila-bila sama khidmat mereka diperlukan bagi membantu rakyat Palestin.

“Sehingga kini, kita melihat tahap kesepakatan yang baik antara semua NGO yang menjadi rakan gabungan MyAD ini,” katanya ketika ditemui pada Program Jom Moreh di sini pada malam Ahad.

Jelasnya, bagi memastikan gerak kerja MyAD berjalan baik seperti dirancang, lima NGO turut dilantik menjadi ahli majlis tertinggi.

Sebahagian tetamu yang menyertai Program Jom Moreh bergambar bersama.
Sebahagian tetamu yang menyertai Program Jom Moreh bergambar bersama.

Katanya, lima NGO tersebut adalah Cinta Gaza Malaysia (CGM), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Murtadha Dakwah Centre (Madad) dan Cinta Syria Malaysia (CSM).

“Masa mula-mula kita ditubuhkan, ada yang mengatakan gabungan MyAD tidak akan bertahan dan akan berpecah.

“Namun, Alhamdulillah kita membawa mesej yang baharu, kaedah yang baharu untuk kita melaksanakan kerja NGO secara gabungan di mana kita menggunakan kekuatan masing-masing, bukan menandingi antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kejayaan terbesar MyAD dalam tempoh setahun ini, Muhammad Nadir berkata, kejayaan yang dicapai adalah mewujudkan kesepakatan dengan NGO luar daripada Malaysia.

“Kita sudah menggabungkan kekuatan NGO yang bergerak di Turki, Indonesia dan beberapa lagi.

“Kadang-kadang bila sebut kejayaan ini ramai yang beranggapan dengan adanya bangunan di Palestin, tetapi kita tidak mahu fokus kepada perkara tersebut semata-mata kerana kita ingin membantu sebanyak mungkin rakyat Palestin,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai situasi terkini di al-Quds yang menjadi sasaran pendatang haram Zionis, beliau berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya kezaliman yang dilakukan kepada rakyat Palestin terutamanya pada bulan Ramadan penuh kemuliaan ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!